Khamis, 2 Ogos 2018

PROGRAM DAN AKTIVITI SEPANJANG BULAN JULAI 2018


KEM MOTIVASI DAN KHIDMAT MASYARAKAT 2018


Pada 6 hingga 8 Julai lalu, pelajar STARULe telah mengikuti kem motivasi dan khidmat masyarakat bertempat di Kem PERASA Autocamp Kampung Jelutong, Changkat Jering, Taiping, Perak.
           Kem tersebut diadakan bertujuan untuk memberi pengalaman baru kepada pelajar STARULe merasai sendiri suasana kem dalam hutan. Malah, aktiviti yang dirancang dan disusun oleh pihak sekolah serta pihak kem tersebut sangat menarik antaranya ialah night walk, merentas halangan, slot ceramah motivasi yang disampaikan khas oleh Alfadil Ustaz Huri Alias. Selain itu, pelajar juga diajar untuk menepati waktu sama ada sebelum program  mahupun semasa program berlangsung. Pelajar juga, dilatih untuk bekerja dalam kumpulan supaya sama-sama dapat bersatu dalam apa jua situasi dan keadaan. 
            Pada hari Ahad pula, para pelajar bergerak ke kampung Kampung Jelutong untuk memberi khidmat tenaga kepada penduduk kampung. Antara aktiviti yang dilakukan pelajar ialah membersih kawasan halaman setiap penduduk kampung yang ada disitu, bersua kenal dengan penduduk kampung, membersih kawasan kebun dan juga membersih dalam rumah. Disamping itu, para pelajar bersama guru-guru pengiring juga menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada golongan dhaif. Selesai khidmat masyarakat tersebut, guru-guru pengiring dan para pelajar berangkat pulang ke sekolah dan tiba sekitar pukul 5:00 petang.






















SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI STARULE 2018


Pada 13 Julai lalu, telah diadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah. Tujuan diadakan majlis tersebut bagi mengeratkan silaturahim antara guru-guru, para pelajar dan kakitangan sekolah di bulan Syawal yang mulia.
            Pada sambutan majlis tersebut, pihak sekolah turut menerima kunjungan tetamu wakil daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz. Selain itu, pengetua Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Kerian iaitu Alfadil Ustaz Shu'ah turut hadir bagi meriahkan majlis sambutan Aidilfitri tersebut. Terlebih dahulu, pada sambutan Aidilfitri tersebut dihiasi dengan pelbagai persembahan antaranya sketsa hari raya, nasyid lagu raya dan persembahan khas silat daripada para pelajar STARULE. Antara juadah yang disajikan ialah laksa, ketupat, rendang, kuih muih raya, dan juga nasi berlauk. Sambutan hari raya pada peringkat sekolah kali ini sangat meriah dek kerana suasana musim perayaan itu sendiri yang sangat indah. Majlis tersebut berakhir sekitar pukul 12:00 tengah hari.










PERSEMBAHAN KHAS MAJLIS PENUTUP KESSUMA 2018 DI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS, TANJUNG MALIM.

Pada 18 Julai lalu, bertempat di Dewan Canselori Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim telah berlangsungnya Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan (KESSUMA).
           Pasukan silat Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong telah membuat persembahan pada majlis tersebut. Antara persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan silat STARULe adalah persembahan pencak silat olahraga, persembahan iringan muzik yang julung kalinya menggunakan peralatan muzik baru iaitu caklempong. Persembahan tersebut berjaya memukau tetamu yang berada di majlis tersebut terutamanya YAB Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato' Azumu yang turut terpegun dengan kelincahan serta alunan irama muzik silat yang dipersembahkan oleh para pelajar STARULe. Kesemua persembahan tersebut telah dilatih dengan bimbingan daripada Tuan Pengetua iaitu Ustaz Faiz bin Muhammad Rafaai. Majlis tersebut berakhir sekitar pukul 11:30 malam.











KEM AKADEMIK 2018



Pada 20 hingga 22 Julai lalu, bertempat di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, telah berlansungnya kem akademik 2018.
           Kem akademik diadakan bertujuan melatih pelajar untuk menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Selain itu, penceramah bagi setiap slot adalah daripada guru yang berpengalaman dalam penandaan kertas peperiksaan awam. Justeru, amat penting bagi pelajar STARULE mengetahui cara dan teknik menjawab soalan secara tepat. Antara lain, dengan adanya kem akademik tersebut, secara tidak langsung pelajar akan lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan awam. Pihak sekolah mengucapkan selamat maju jaya kepada calon-calon SPM dan PT3 agar peroleh keputusan yang lebih baik pada tahun ini.














MAJLIS IHTIFAL ILMI PERINGKAT KEBANGSAAN (MISSMAAM)

Pada 28 Julai 2018, bertempat di Maahad Ahmadi Gemenceh, Negeri Sembilan Darul Khusus telah berlangsungnya Majlis Ihtifal Ilmi Peringkat Kebangsaan (MISSMAAM).
          Pelajar Sekolah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong telah menjadi wakil negeri Perak bagi kategori kuiz Dini. Seramai 4 orang pelajar telah menyertai kuiz Dini tersebut iaitu Aiman, Faris, Danish, dan Mukhriz. Alhamdulillah, berkat bimbingan daripada Alfadil Ustaz Hafiz Shamsudin pelajar STARULe telah berjaya meraih tempat kedua pada kategori kuiz Dini tersebut. Walaupun jurang markah adalah sedikit, namun pelajar STARULe sebenarnya telah menjadi juara dalam kategori tersebut. Pada pertandingan kuiz tersebut, kehadiran Tuan Pengetua Alfadil Ustaz Faiz bin Muhammad Rafaai menjadi pendorong semangat kepada para pelajar STARULe yang menyertai pertandingan tersebut. Diharapkan pada tahun hadapan pelajar STARULe bakal beroleh kejayaan yang lebih baik insyaAllah. Tahniah diucapkan sekali lagi kepada peserta kuiz Dini.







PERGERAKAN JAWATAN PENGAWAS BAGI PENGGAL KEDUA SESI PERSEKOLAHAN



31 Julai 2018, bertempat di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, telah berlangsungnya majlis penyerahan watikah pengawas bagi penggal kedua.Berikut adalah senarai penyerahan jawatan yang baru:

1. Ketua Umum : M. Amirul Muttaqim (Pelajar Tingkatan 4)
2. Penolong Ketua Umum Asrama: Mus'ab (Pelajar Tingkatan 3)
3. Penolong Ketua Umum Sekolah: Ahmad Yasin (Pelajar Tingkatan 4)
4. Setiausaha: M. Danish Adam (Pelajar Tingkatan 3)

Pihak sekolah mengucapkan tahniah dan semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab. Tahniah sekali lagi!!!










Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"