Khamis, 28 September 2017

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KOLEJ MATRIKULASI GOPENG DAN DARUL QURAN

Para pelajar tingkatan 4 dan 5 telah mengikuti lawatan sambil belajar ke Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak dan Darul Quran, Kuala Kubu Baru, Selangor pada 20 dan 27 September yang lalu. Lawatan ini bertujuan untuk membantu para pelajar dalam memilih aliran yang bersesuaian dengan mereka setelah tamatnya Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di samping itu, bagi para pelajar tingkatan 4 mereka dapat membuat persediaan awal sekiranya berminat untuk memasuki salah satu daripada tempat lawatan ini setelah tamat tingkatan 5 nanti.







Para pelajar turut dibawa melawat ke sekitar kawasan pengajian bagi merasai suasana pengajian di sana. Diharapkan lawatan ini membuka mata anak-anak STARULe untuk membuat pilihan yang tepat setelah berakhirnya SPM dan meneruskan pengajian hingga ke peringkat yang tertinggi. Sekian.

DIALOG PRESTASI PT3 2017

Dialog Prestasi para pelajar tingkatan 3 telah diadakan pada hari Rabu 27 September bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 4.30 petang. Semua pelajar tingkatan 3 dan guru-guru yang mengajar subjek tingkatan 3 terlibat dalam sesi dialog ini kecuali subjek Sejarah dan Geografi yang telah berakhir beberapa minggu yang lalu.

Tujuan dialog prestasi ini adalah untuk menilai semula prestasi para pelajar dan memperbetulkan sebarang kesilapan yang mereka lakukan ketika menjawab soalan pertengahan tahun dan percubaan yang lepas. Hal ini juga adalah sebagai persediaan mereka bagi menjawab soalan PT3 sebenar yang bakal bermula 9 Oktober ini.




Subjek-subjek yang terlibat ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Kemahiran Hidup, Sains, dan Pendidikan Islam. Para pelajar juga turut melafazkan Aku Janji sebagai tanda persediaan mereka menghadapi PT3 pada tahun ini. Diharapkan para pelajar dapat mempersiapkan diri mereka dari segi fizikal, emosi dan rohani bagi menghadapi peperiksaan kali ini dan dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah. 


Selamat Maju Jaya diucapkan!

Isnin, 25 September 2017

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA

Pada hari Khamis, 21 September 2017 yang lepas telah diadakan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bertempat di Dewan Mini STARULe. Sambutan bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah hari. Seminggu sebelum sambutan diadakan, beberapa pertandingan telah dijalankan antaranya pantun, sajak, replika bangunan, kelas tercantik, pakaian daripada barang terbuang, koir, kuiz dan sebagainya.




Sambutan dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis. Setelah itu, bacaan doa diketuai oleh saudara Zal Haziq sebelum tiga buah lagu didendangkan iaitu lagu Negaraku, lagu Sekolah dan lagu Aku Negaraku. Kemudian, pengerusi majlis menjemput Ustaz Faiz untuk menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis pada kali ini.

Acara gimik perasmian juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis yang diketuai oleh Ustaz Al Hadi. Selepas itu, majlis diambil alih oleh tiga orang pelajar iaitu saudara Aminul Hafiz, Syahmi Sholba dan Abdul Rahman yang mengacara untuk persembahan pelajar dan cabutan bertuah. Antara acara yang dipersembahkan oleh para pelajar ialah koir, syair, sajak dan pantun.



Sebelum sambutan berakhir, para pelajar cemerlang Idadi dan Thanawi tahun lepas turut menerima sijil dan sumbangan daripada JAIPk sebagai penghargaan. Pada sebelah petangnya, semua pelajar pulang ke kampung masing-masing sempena cuti Maalhijrah. Sekian.

Selasa, 19 September 2017

KEM MOTIVASI DAN AKADEMIK YPM DENGAN KERJASAMA CELCOM AXIATA BHD

Pada 15 hingga 17 September yang lalu telah berlangsungnya Kem Motivasi dan Akademik YPM dengan kerjasama Celcom Axiata Bhd untuk para pelajar tingkatan 5, bertempat di MRSM Lenggong, Perak. Kem ini merupakan kemuncak kepada Program Tuisyen Rakyat@KKLW 2017 (Tuisyen YPM/MRSM-Celcom) yang disertai oleh lima buat sekolah menengah sekitar Lenggong iaitu STARULe, MRSM Lenggong, SMK Dato' Ahmad, SMK Sultan Azlan Shah dan SMK Tan Sri Abdul Aziz. Program tuisyen ini telah berlangsung semenjak bulan Mei yang lalu dan melibatkan lima subjek SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Matematik Tambahan.

Kem bermula pada pukul 3.30 petang hari Jumaat dengan slot pertama iaitu Bahasa Melayu dan slot kedua pada pukul 9.00 malam dengan subjek Bahasa Inggeris. Keesokan harinya slot ketiga dan keempat diisi oleh subjek Matematik Tambahan dan Matematik. Pada sebelah petangnya, para pelajar melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti Zoo Experience, Houseboat, Flying Fox dan Kayaking. Pada sebelah malamnya pula, slot kelima diisi dengan ceramah bertajuk "Kerjaya bersama ANSARA".




Pada hari terakhir kem, subjek Sejarah mengisi slot keenam di sebelah paginya. Selepas minum pagi, slot terakhir diisi pula dengan sesi bersama ibu bapa dan pelajar. Selesai majlis penutup iaitu kira-kira jam 2.30 petang, para pelajar dan ibu bapa menjamu selera sebelum bergerak pulang ke sekolah masing-masing. Sekian.

Isnin, 18 September 2017

DIALOG PRESTASI SPM 2017

Dialog Prestasi SPM yang kedua bagi tahun 2017 telah diadakan pada 14 dan 15 September yang lalu bertempat di Inap Desa Tanjung Bayu, Sauk, Kuala Kangsar. Semua pelajar tingkatan 5 dan guru-guru yang mengajar subjek SPM terlibat dalam sesi dialog ini.

Dialog Prestasi ini diadakan bertujuan membuat refleksi terutamanya keputusan Peperiksaan Percubaan yang lepas. Bukanlah hendak mencari kelemahan, sebaliknya hal ini adalah untuk membuat penambahbaikan dalam diri pelajar khasnya dan guru-guru amnya.

Pada sesi pertama dialog iaitu kira-kira jam 3.00 petang hari Khamis, empat guru subjek telah memulakan sesi dialog iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Biologi dan Kimia. Pada sebelah malamnya pula, subjek Matematik Tambahan, Fizik dan Bahasa Arab. 




Sebahagian guru yang terlibat dengan Dialog Prestasi SPM

Selepas selesai sesi kedua, para pelajar dan guru menikmati hidangan BBQ yang telah disediakan oleh staf-staf STARULe.


Seterusnya, keesokan harinya, empat guru subjek terakhir mengisi slot masing-masing iaitu Sejarah, Bahasa Inggeris, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah. Sebelum pulang ke sekolah, para pelajar melafazkan ikrar dan aku janji bagi menghadapi SPM tidak lama lagi sambil disaksikan oleh pengetua dan semua guru subjek. Selepas ucapan penutup daripada pengetua dan sesi bergambar kenangan, para pelajar dan guru bergerak pulang.

Para pelajar melafazkan ikrar dan aku janji

Ucapan penutup daripada pengetua
Bergambar kenangan

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"