Ahad, 13 Ogos 2017

SESI DIALOG ANALISIS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN TINGKATAN 5

Pada hari Isnin hingga Rabu bertarikh 7 hingga 9 Ogos yang lepas telah diadakan sesi dialog analisis PPT bersama para pelajar tingkatan lima dan guru-guru mata pelajaran. Sesi ini diadakan bagi memberi maklum balas kepada para pelajar mengenai kelemahan yang dikenal pasti oleh setiap guru mata pelajaran ketika menjawab soalan PPT yang lepas.




Pada hari Isnin, guru bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan juga Matematik memberikan maklum balas mereka. Manakala pada hari Selasa pula ialah guru-guru bagi subjek Sejarah, Fizik, Kimia, Biologi dan Pendidikan Syariah Islamiah. Dan pada hari Rabu, sesi dialog diisi oleh guru bagi subjek Matematik Tambahan dan al-Quran dan as-Sunnah.

Para pelajar juga turut memberikan maklum balas mereka berkenaan subjek-subjek yang diajar kepada para guru. Para pelajar juga turut diberi buku graf prestasi untuk diisi oleh mereka. Sesi ini membolehkan para pelajar mengambil perhatian untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan ketika menjawab soalan peperiksaan. Sekian.

Jumaat, 11 Ogos 2017

SEMINAR BIMBINGAN PEPERIKSAAN PT3 (SBP)

Pada 6 Ogos yang lepas, para pelajar tingkatan tiga telah dijemput untuk mengikuti Seminar Bimbingan Peperiksaan PT3 anjuran Berita Harian (BH-Didik). Para pelajar dijemput oleh penaja seminar berkenaan iaitu Lembaga Tabung Haji (TH).

Para pelajar bergerak ke seminar yang berlangsung di SMK Sultan Idris Shah II, Gerik menaiki van dengan diiringi oleh tiga orang guru. Seminar ini memberi tumpuan kepada subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.





Diharapkan seminar ini dapat membantu para pelajar tingkatan tiga meningkatkan kemahiran dan motivasi bagi menghadapi ujian bertulis PT3 yang bakal ditempuhi tidak lama lagi. Sekalung terima kasih juga diucapkan kepada penaja dan penganjur yang sudi menjemput anak-anak STARULe mengikuti seminar ini. Terima Kasih!

Khamis, 10 Ogos 2017

MAJLIS IHTIFAL ILMI SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH AGAMA MALAYSIA (MIISMAM)

Pada hari Jumaat hingga Ahad, 4 hingga 6 Ogos yang lalu telah berlangsungnya Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) bertempat di Maahad al-Manshoor al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang. Majlis ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

STARULe telah diwakili oleh Aiman bin Mohd Radzai dan Muhammad Danish Zikry bin Mohd Ali (tingkatan 4), Abdul Rahman Humaidi bin Husaini (tingkatan 3) dan Muhammad Mukhriz Zikry bin Mohd Ali (tingkatan 2) dalam pertandingan Kuiz Dini.


Walaupun pulang tanpa sebarang kemenangan tetapi kejayaan mereka berjaya ke peringkat kebangsaan adalah sesuatu yang membanggakan STARULe. Perkara yang lebih penting ialah mereka dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu sepanjang pertandingan berlangsung. Tahniah diucapkan!


Rabu, 9 Ogos 2017

KEM KHIDMAT MASYARAKAT DAN CSR HAMMAM

Kem Khidmat Masyarakat dan CSR Hammam telah diadakan pada 28 hingga 29 Julai 2017 yang lalu bertempat di Kampung Senawar, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Para pelajar dan guru bertolak ke kampung tersebut pada pukul 2.30 petang dengan menaiki dua buah bas. Setelah tiba, mereka diberi taklimat awal dan agihan penginapan.

Pada pukul 5.30 petang kerja gotong-royong mengecat surau pun bermula sehingga jam 6.45 petang. Pada sebelah malamnya pula diakan sesi beramah mesra bersama penduduk kampung.


Keesokan harinya, selepas selesai sarapan, para pelajar dan guru bergerak ke lokasi gotong-royong. Aktiviti gotong-royong bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir tiga jam kemudian. Setelah berehat untuk minum pagi, aktiviti diteruskan sehingga jam 1.00 petang.





Kira-kira jam 2.00 petang, majlis penutup diadakan dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, En. Mohammad Fadhli bin Baharum. Jam 3.30 petang, guru-guru dan pelajar-pelajar bergerak pulang ke sekolah. Sekian.
"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"