Rabu, 15 Mac 2017

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KETIGA

Pada 11 Mac 2017, bertempat di padang Sek. Men. Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong telah berlangsungnya Kejohanan Olahraga Tahunan Kali Ketiga STARULe. Acara ini bermula kira-kira jam 8.30 pagi dan berakhir tiga jam kemudian. Pegawai Penyelia Pendidikan Swasta PPD Hulu Perak, En. Hashim bin Mohamad telah menjadi perasmi pada acara kali ini.

Majlis dimulakan dengan acara lintas hormat daripada kontijen rumah sukan yang bertanding iaitu, Rumah Hijau (Khalid al-Walid), Rumah Kuning (Abu Ubaidah al-Jarrah) dan Rumah Merah (Umar al-Khattab). Kemudian, ketua kontijen, Saudara Muhammad Hafizul Aziz membacakan ikrar kejohanan sambil disertai semua pemegang bendera sebelum Ustaz Muhammad 'Atif Anaqi membacakan doa. Setelah itu, pengetua STARULe, Ustaz Faiz memberikan ucapan, diikuti oleh En. Hashim yang seterusnya merasmikan majlis pada hari itu. Beliau juga turut memeriksa perbarisan rumah-rumah sukan.






Selepas itu, majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah, berselang-seli dengan acara olahraga peringkat akhir seperti 100 meter, 200 meter, 4x100 meter, tarik tali dan sebagainya. Acara selingan turut diadakan iaitu acara tarik tali antara guru-guru, staf, bapa pelajar dan bekas pelajar STARULe. Majlis turut diserikan dengan persembahan silat daripada Persatuan Silat Seni Gayung STARULe yang pernah memenangi beberapa kejohanan penting di peringkat daerah dan negeri.






Pada kejohanan kali ini, Rumah Merah mengekalkan kejuaraan selama tiga tahun berturut-turut apabila menjadi juara keseluruhan. Tempat kedua dimenangi oleh Rumah Hijau dan Rumah Kuning mendapat tempat yang ketiga. Kawad kaki terbaik dimenangi oleh Rumah Kuning manakala Pakaian terbaik dimenangi oleh Rumah Merah. Saudara Muhammad Kamal juga turut mengekalkan kemenangannya apabila sekali lagi menjadi olahragawan sekolah bagi tahun ini.




Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Kepada yang kurang berjaya, Insya-Allah, tahun hadapan boleh mencuba lagi. Sekian.



Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"