Isnin, 27 Februari 2017

SEMINAR KERJAYA

Satu seminar kerjaya telah diadakan pada 21 Februari 2017, jam 8.30 pagi, bertempat di Dewan Mini STARULe. Seminar ini berlangsung sehingga jam 4.00 petang. Tujuannya adalah untuk mendedahkan para pelajar terutamanya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 aliran yang bersesuaian dengan minat dan cita-cita mereka apabila memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) kelak.

Terdapat tiga sesi sepanjang seminar ini berlangsung. Sesi pertama dan kedua dikendalikan oleh wakil MRSM Lenggong dengan tajuk "Pendedahan tentang Kerjaya Masa Kini" dan "Mengenali Potensi Diri". Kemudian, wakil daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) memberikan taklimat dan meneruskan sesi ketiga iaitu "Peluang Kerjaya". Mereka turut membuka "booth" bagi memudahkan para pelajar bersoal jawab mengenai UTP.



Bersama wakil MRSM Lenggong



Bersama wakil UTP

Walaupun beberapa pihak menarik diri atas sebab-sebab tertentu, tetapi seminar kerjaya ini tetap berlangsung dengan baik. Diharapkan pada masa akan datang, lebih banyak universiti dan kolej yang dapat turut serta dalam seminar seperti ini. Sekian.

Selasa, 21 Februari 2017

PERASMIAN E-MAJALAH STARULe EDISI 2016

Pada 20 Februari 2017, ketika perhimpunan rasmi sekolah telah berlangsungnya majlis ringkas perasmian e-majalah STARULe edisi 2016. Perasmian ini diadakan kerana ini merupakan kali pertama STARULe menerbitkan majalah dalam bentuk cakera padat. 

Sebelum itu, ketua editor bagi majalah sekolah 2016, Cikgu Nor Salwa telah menyampaikan sedikit ucapan dan kredit kepada semua yang terlibat dalam menerbitkan e-majalah tahun lepas. Setelah itu, beliau menjemput pengetua STARULe ustaz Faiz bagi merasmikan e-majalah dengan sedikit gimik yang telah disediakan oleh para pelajar. Kemudian, tayangan video dipaparkan sebelum ustaz Faiz menerima e-majalah daripada wakil pelajar sidang redaksi 2016 sebagai simbolik berakhirnya perasmian tersebut. 

ucapan daripada ketua editor


penyerahan e-majalah edisi 2016 kepada pengetua

Diharapkan e-majalah edisi 2016 menjadi penanda aras kepada majalah sekolah yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang. Sekian.

Isnin, 20 Februari 2017

LAWATAN PENANDA ARAS KE SELANGOR DAN TERENGGANU

Pada 15 hingga 17 Februari 2017 yang lalu iaitu pada hari Rabu hingga Jumaat, pihak sekolah telah mengadakan lawatan penanda aras ke dua buah negeri iaitu Selangor dan Terengganu. Para guru dan pelajar juga turut dibahagikan iaitu seramai 14 orang guru dan staf serta 45 orang pelajar ke Selangor manakala 15 orang guru dan staf serta 27 pelajar ke Terengganu.

Bagi lawatan ke Selangor, mereka bertolak kira-kira jam 8.00 pagi dengan menaiki sebuah bas dan dua buah van sekolah. Mereka singgah di Bukit Malawati, Kuala Selangor untuk makan tengah hari serta menunaikan solat. Setelah itu, mereka meneruskan perjalanan ke destinasi pertama iaitu Maahad Tahfiz al-Quran Hira' di Kuala Selangor. Mereka tiba pada pukul 4.00 petang di sana. Tujuan lawatan ke maahad ini adalah untuk meninjau pengurusan, menimba pengalaman kejayaan dan kecemerlangan, meninjau kaedah dan sistem hafazan serta merasai pengalaman rutin harian pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Hira'. Keesokan harinya iaitu pada 16 Februari, para peserta rombongan bertolak ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Kajang dan tiba kira-kira pukul 8.30 pagi. Di sana pula mereka meninjau kaedah dan sistem hafazan yang dipraktikkan. Seterusnya, rombongan ke UKM Bangi bagi meninjau kawasan UKM di samping berkongsi maklumat dan bimbingan mengenai Persatuan Seni Silat Gayung UKM. Mereka pulang ke tempat penginapan kira-kira jam 6.00 petang. Pada 17 Februari, para peserta bersiar-siar di Putrajaya dan menunaikan solat Jumaat di sana sebelum bertolak pulang ke STARULe. Mereka tiba di sekolah pada jam 7.30 malam.

Di Bukit Malawati



Di Maahad Tahfiz al-Quran Hira'


Di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah



Di UKM, Bangi



Bagi lawatan ke Terengganu pula, para peserta bertolak kira-kira jam 8.30 pagi dengan menaiki bas. Mereka tiba di Kuala Terengganu pada pukul 5.00 petang dan terus menuju ke tempat penginapan. Pada keesokan harinya iaitu pada 16 Februari, para peserta bertolak ke Madrasatul Quran Kubang Bujuk bagi meninjau kaedah dan sistem hafazan serta merasai pengalaman rutin harian pelajar-pelajar di sana. Mereka berada di sana sehingga jam 11.30 pagi. Seterusnya, mereka bertolak ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin bagi tujuan yang sama. Selain itu mereka juga mahu berkongsi maklumat dan bimbingan mengenai Persatuan Seni Silat. Para peserta rombongan berada di sana sehingga jam 5.00 petang. Pada hari Jumaat, 17 Februari pula, para peserta bersiar-siar di Kuala Terengganu sebelum bertolak pulang ke STARULe. Rombongan ini tiba di sekolah kira-kira jam 6.00 petang.



Di Madrasatul Quran Kubang Bujuk



Di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin

Diharapkan lawatan penanda aras ini dapat memberi sedikit idea kepada STARULe bagi memperbaiki dan menambahbaik keperluan dari segi akademik, sahsiah, rohani, kelas, asrama mahupun sekolah. Sekian.

Selasa, 14 Februari 2017

PEMERIKSAAN GIGI DAN CERAMAH PENJAGAAN GIGI DARIPADA KLINIK KESIHATAN LENGGONG

Klinik Kesihatan Lenggong telah membuat pemeriksaan kesihatan pergigian terhadap semua pelajar STARULe pada pagi 14 Februari 2017. Setelah itu, semua pelajar ke Dewan Mini bagi mendengar ceramah pergigian yang telah diberikan oleh salah seorang doktor gigi di Klinik Kesihatan Lenggong. Antara intipati ceramah tersebut ialah cara-cara menjaga gigi dengan betul, penyakit-penyakit gusi, gigi dan mulut serta cara-cara mencegah penyakit-penyakit tersebut.





KLIK DENGAN BIJAK OLEH PUSAT INTERNET 1 MALAYSIA LENGGONG

Bertempat di Dewan Mini STARULe pada 13 Februari 2017 telah diadakan Program "Klik dengan Bijak" oleh Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Lenggong. Program ini bermula kira-kira jam 10.30 pagi dan berakhir 40 minit kemudian. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada para pengguna terutamanya remaja tentang penggunaan Internet secara positif berteraskan tiga aspek iaitu kewaspadaan, keselamatan dan tanggungjawab.

Dua orang fasilitator telah memberikan taklimat berkaitan "Klik dengan Bijak" ini iaitu Cik Nurul Shuhada, pengurus PI1M Lenggong dan Puan Nur Safina, pengurus PI1M Raban. Mereka juga turut menyediakan beberapa cenderahati kepada para pelajar yang berjaya menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan betul.






Walaupun program ini kelihatan santai, tetapi input-input yang diberikan sangat berguna kepada para pelajar terutamanya ketika melayari Internet agar jenayah siber dapat dihindari daripada berlaku. Sekian.

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"