Khamis, 30 Jun 2016

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN, MESYUARAT PIBG & MAJLIS IFTAR TAHUN 2016

Pada 30 Jun 2016, Majlis Anugerah Cemerlang STARULe kali ke-5 telah diadakan di Dewan Mini STARULe. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan kecemerlangan pelajar-pelajar STARULe berdasarkan prestasi mereka tahun lepas. 

Majlis telah bermula tepat pada pukul 2.00 petang dengan ketibaan para tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan para pelajar.  Majlis turut dimuliakan lagi dengan bacaan doa dan diserikan dengan nyanyian lagu negaraku, negeri Perak dan nasyid asma' ulhusna. Majlis Anugerah Cemerlang telah dirasmikan oleh Pengurus Giat Mara Lenggong, Encik Hazlan bin Mat Lion.

Pelbagai anugerah telah disampaikan pada hari itu termasuklah penyampaian Anugerah PT3, penyampaian Anugerah Idadi, Anugerah Thanawi, Anugerah Matapelajaran Terbaik Idadi dan Akademik serta Anugerah Kedudukan Terbaik Mengikut Kelas bagi Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan 4.


Bukan itu sahaja, penyampaian anugerah turut diberikan kepada tokoh pelajar seperti Anugerah Potensi Cemerlang, Anugerah Hafazan Terbaik dan Anugerah Pelajar Mithali. Anugerah Potensi Cemerlang telah diberikan kepada saudara Muhammad Taufiq Ikhmal bin Mohamad Roshidi atas kejayaan beliau yang berjaya memperoleh 11A dalam pencapaian PT3 tahun lepas. Bagi Anugerah Hafazan Terbaik, diberikan kepada saudara Muhammad Amir Izzat bin Hasnan kerana berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Anugerah Pelajar Mithali pula telah diberikan kepada saudara Muhammad Khairul Ashraf bin Azmi atas keperibadian dan budi pekerti beliau yang tinggi.

Majlis Anugerah Cemerlang turut diserikan lagi dengan tayangan video dan persembahan nasyid daripada pelajar-pelajar. Majlis berakhir pada pukul 3.30 petang dan disambung dengan mesyuarat Agung PIBG pada pukul 4.00 petang.

Mesyuarat Agung PIBG kali ini diadakan bagi melantik Yang Dipertua serta ahli jawatankuasa PIBG yang baru. Selain itu, mesyuarat ini turut dijalankan bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan pelajar-pelajar STARULe. Mesyuarat telah berakhir pada pukul 6.00 petang. Seterusnya, ibu bapa, guru-guru dan pelajar sama-sama berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan solat tarawih secara berjemaah. Majlis telah berakhir pada pukul 10.00 malam.


Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"