Khamis, 30 Jun 2016

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN, MESYUARAT PIBG & MAJLIS IFTAR TAHUN 2016

Pada 30 Jun 2016, Majlis Anugerah Cemerlang STARULe kali ke-5 telah diadakan di Dewan Mini STARULe. Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan kecemerlangan pelajar-pelajar STARULe berdasarkan prestasi mereka tahun lepas. 

Majlis telah bermula tepat pada pukul 2.00 petang dengan ketibaan para tetamu yang terdiri daripada ibu bapa dan para pelajar.  Majlis turut dimuliakan lagi dengan bacaan doa dan diserikan dengan nyanyian lagu negaraku, negeri Perak dan nasyid asma' ulhusna. Majlis Anugerah Cemerlang telah dirasmikan oleh Pengurus Giat Mara Lenggong, Encik Hazlan bin Mat Lion.

Pelbagai anugerah telah disampaikan pada hari itu termasuklah penyampaian Anugerah PT3, penyampaian Anugerah Idadi, Anugerah Thanawi, Anugerah Matapelajaran Terbaik Idadi dan Akademik serta Anugerah Kedudukan Terbaik Mengikut Kelas bagi Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan 4.


Bukan itu sahaja, penyampaian anugerah turut diberikan kepada tokoh pelajar seperti Anugerah Potensi Cemerlang, Anugerah Hafazan Terbaik dan Anugerah Pelajar Mithali. Anugerah Potensi Cemerlang telah diberikan kepada saudara Muhammad Taufiq Ikhmal bin Mohamad Roshidi atas kejayaan beliau yang berjaya memperoleh 11A dalam pencapaian PT3 tahun lepas. Bagi Anugerah Hafazan Terbaik, diberikan kepada saudara Muhammad Amir Izzat bin Hasnan kerana berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Anugerah Pelajar Mithali pula telah diberikan kepada saudara Muhammad Khairul Ashraf bin Azmi atas keperibadian dan budi pekerti beliau yang tinggi.

Majlis Anugerah Cemerlang turut diserikan lagi dengan tayangan video dan persembahan nasyid daripada pelajar-pelajar. Majlis berakhir pada pukul 3.30 petang dan disambung dengan mesyuarat Agung PIBG pada pukul 4.00 petang.

Mesyuarat Agung PIBG kali ini diadakan bagi melantik Yang Dipertua serta ahli jawatankuasa PIBG yang baru. Selain itu, mesyuarat ini turut dijalankan bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan pelajar-pelajar STARULe. Mesyuarat telah berakhir pada pukul 6.00 petang. Seterusnya, ibu bapa, guru-guru dan pelajar sama-sama berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan solat tarawih secara berjemaah. Majlis telah berakhir pada pukul 10.00 malam.


Isnin, 20 Jun 2016

MINGGU SAINS (20 JUN 2016 - 24 JUN 2016)

Pada 20 Jun 2016 yang lalu, telah diadakan Minggu Sains. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang minggu tersebut seperti 'Explorace', Pertandingan Eksperimen,  Kuiz Sains, Pertandingan Reka Cipta dan Pameran Sains. Semua aktiviti tersebut dibuka kepada semua pelajar. Minggu Sains telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid STARULe, Cik Nor Rashidah binti Ab. Khalil.

Bagi pertandingan 'Explorace', seramai 12 buah kumpulan telah menyertai pertandingan ini. Terdapat 4 'checkpoint' yang perlu pelajar-pelajar lalui bagi pertandingan ini. Setiap 'checkpoint', pelajar diminta untuk menyelesaikan soalan-soalan berkaitan dengan subjek Sains. 

Pelajar-pelajar juga mengunakan serta mengaplikasikan kemahiran proses sains dalam Pertandingan Eksperimen. Mereka diminta untuk menjalankan eksperimen berkaitan dengan sel. Dalam pertandingan ini, pelajar-pelajar diminta untuk mereka sendiri prosedur dan menjalankan pemerhatian tanpa bimbingan guru.

Untuk Kuiz Sains, pelajar-pelajar diminta untuk menjawab soalan berkaitan Sains secara bertulis. Pelajar masing-masing memerah otak untuk menjawab soalan kuiz ini.

Bagi Pertandingan Reka Cipta, pelajar-pelajar diminta mencipta apa jua alat yang mengaplikasikan konsep Sains. Aktiviti ini bertujuan untuk mencungkil bakat pelajar yang terpendam dalam bidang sains. Untuk aktiviti ini, pelajar-pelajar telah mencipta 'Kipas Mini' dan 'Bola Lampu'.

Minggu Sains turut dimeriahkan lagi dengan Pameran Sains. Pameran ini bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap subjek sains. Contohnya, "Black Snake", "Bubbles", "Plant's Xylem", "Magic Liquid" dan sebagainya. 









"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"