Isnin, 26 Oktober 2015

KEM KHIDMAT MASYARAKAT (02/10/2015 - 04/10/2015)

Kem ini telah dijayakan pada 2 hingga 4 Oktober 2015 di Kg. Raja Intan Suraya, Siput Utara dengan melibatkan semua pelajar dan sebahagian guru di bawah pengurusan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Warga STARULe yang terlibat telah bertolak dari sekolah pada petang Jumaat (2 Oktober) dan menginap di Kem Rekreasi Raja Intan Suraya. Pada sebelah malam pertama, semua pelajar diberi taklimat tentang aktiviti khidmat masyarakat yang akan dilakukan keesokkan harinya.
Seawal jam 8 pagi, usai bersarapan, pelajar-pelajar bergerak ke lokasi khidmat masyarakat dalam tiga kumpulan bersama guru-guru. Kumpulan pertama berhenti di rumah Encik Salleh, antara penduduk yang kurang berkemampuan di kampung tersebut. Di sana, para pelajar dan guru-guru telah bergotong-royong memasang tikar getah dan membuat simen ruang belakang dapur rumah. Manakala beberapa penduduk kampung bersama Ketua Kampung Raja Intan Suraya membantu membaik pulih dinding bilik anak perempuannya. Kumpulan kedua pula membersihkan persekitaran surau kampung dan mengecat dinding sebelah dalam surau. Kumpulan ketiga pula bersama guru-guru dan penduduk kampung telah membersihkan kawasan dalaman dan persekitaran rumah Puan Yah, warga emas yang tinggal bersendirian.
Kerja-kerja amal ini berhenti seketika pada jam 10.30 pagi untuk minum pagi yang disediakan oleh penduduk kampung di surau. Selepas itu semua kumpulan bergerak semula ke lokasi masing-masing untuk menyambung kerja. Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan semua kerja dan ia berjaya disiapkan menjelang waktu Zohor.
Pada sebelah petangnya, pelajar diberi ruang untuk berehat seketika. Untuk menghargai penat lelah dan komitmen semua yang terlibat, makan malam pada hari tersebut ditambah dengan juadah barbeque oleh pihak kem. Waktu-waktu lain yang berbaki, sejak malam pertama hingga waktu pulang telah diisi dengan sesi Murajaah, tazkirah dan sesi kelas tambahan memandangkan semua pelajar akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.
Pada pagi Ahad pula, pelajar-pelajar dan guru-guru menyertai aktiviti air yang diaturkan oleh pihak kem. Menjelang tengah hari semua warga STARULe berangkat pulang ke sekolah setelah dua hari berkampung di kem.
Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, guru-guru yang merancang dan mengatur kerja-kerja khidmat masyarakat, pihak pengurusan kem yang membantu menghubungkan pihak sekolah dengan ketua kampung dan pihak yang perlu dibantu, penduduk kampung Raja Intan Suraya yang telah bersama membantu serta tidak lupa kepada ibu bapa pelajar yang telah sudi memberi sumbangan berjumlah hampir RM1000.00 untuk menyediakan keperluan dan alatan program khidmat masyarakat. Mudah-mudahan objektif kem ini tercapai, yakni menyediakan pelajar dengan sifat prihatin dengan kesusahan orang lain dan sedia membantu dengan ikhlas. Insyaallah pada tahun akan datang, pihak sekolah merancang untuk mengadakan program anak angkat pula bagi memberi pendedahan kepada pelajar supaya berupaya berinteraksi dengan masyarakat, mampu bertolak-ansur dan memahami orang lain. 









Sekian.


Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"