Kem ini telah dijayakan pada 2 hingga 4 Oktober 2015 di Kg. Raja
Intan Suraya, Siput Utara dengan melibatkan semua pelajar dan sebahagian guru
di bawah pengurusan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Warga STARULe yang terlibat
telah bertolak dari sekolah pada petang Jumaat (2 Oktober) dan menginap di Kem
Rekreasi Raja Intan Suraya. Pada sebelah malam pertama, semua pelajar diberi
taklimat tentang aktiviti khidmat masyarakat yang akan dilakukan keesokkan
harinya.
Seawal jam 8 pagi, usai bersarapan, pelajar-pelajar bergerak ke
lokasi khidmat masyarakat dalam tiga kumpulan bersama guru-guru. Kumpulan
pertama berhenti di rumah Encik Salleh, antara penduduk yang kurang
berkemampuan di kampung tersebut. Di sana, para pelajar dan guru-guru telah
bergotong-royong memasang tikar getah dan membuat simen ruang belakang dapur
rumah. Manakala beberapa penduduk kampung bersama Ketua Kampung Raja Intan
Suraya membantu membaik pulih dinding bilik anak perempuannya. Kumpulan kedua
pula membersihkan persekitaran surau kampung dan mengecat dinding sebelah dalam
surau. Kumpulan ketiga pula bersama guru-guru dan penduduk kampung telah
membersihkan kawasan dalaman dan persekitaran rumah Puan Yah, warga emas yang
tinggal bersendirian.
Kerja-kerja amal ini berhenti seketika pada jam 10.30 pagi untuk
minum pagi yang disediakan oleh penduduk kampung di surau. Selepas itu semua
kumpulan bergerak semula ke lokasi masing-masing untuk menyambung kerja.
Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan semua kerja dan ia berjaya disiapkan
menjelang waktu Zohor.
Pada sebelah petangnya, pelajar diberi ruang untuk berehat
seketika. Untuk menghargai penat lelah dan komitmen semua yang terlibat, makan
malam pada hari tersebut ditambah dengan juadah barbeque oleh pihak kem.
Waktu-waktu lain yang berbaki, sejak malam pertama hingga waktu pulang telah
diisi dengan sesi Murajaah, tazkirah dan sesi kelas tambahan memandangkan semua
pelajar akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.
Pada pagi Ahad pula, pelajar-pelajar dan guru-guru menyertai
aktiviti air yang diaturkan oleh pihak kem. Menjelang tengah hari semua warga
STARULe berangkat pulang ke sekolah setelah dua hari berkampung di kem.
Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, guru-guru
yang merancang dan mengatur kerja-kerja khidmat masyarakat, pihak pengurusan
kem yang membantu menghubungkan pihak sekolah dengan ketua kampung dan pihak
yang perlu dibantu, penduduk kampung Raja Intan Suraya yang telah bersama
membantu serta tidak lupa kepada ibu bapa pelajar yang telah sudi memberi
sumbangan berjumlah hampir RM1000.00 untuk menyediakan keperluan dan alatan
program khidmat masyarakat. Mudah-mudahan objektif kem ini tercapai, yakni
menyediakan pelajar dengan sifat prihatin dengan kesusahan orang lain dan sedia
membantu dengan ikhlas. Insyaallah pada tahun akan datang, pihak sekolah
merancang untuk mengadakan program anak angkat pula bagi memberi pendedahan
kepada pelajar supaya berupaya berinteraksi dengan masyarakat, mampu
bertolak-ansur dan memahami orang lain.
Sekian.