Rabu, 30 September 2015

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2014/2015 KALI KE-4

Bertempat di Dewan Mini STARULe, pada 18 September 2015 bersamaan hari Jumaat telah berlangsungnya Majlis Anugerah Kecemerlangan 2014/2015 kali ke-4 bagi mengiktiraf pencapaian para pelajar dalam bidang kurikulum dan juga kokurikulum. Majlis ini telah dirasmikan oleh ahli Parlimen Lenggong iaitu Dato’ Shamsul Anuar bin Haji Nasarah. Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang tetamu VIP.




Majlis bermula kira-kira jam 9.30 pagi dengan bacaan doa dan ucapan daripada tuan pengetua, Ustaz Faiz bin Muhammad Rafaai. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah JAIPk iaitu Tuan Haji Mohd Yusop bin Haji Husin sebelum majlis dirasmikan oleh Dato’ Shamsul Anuar.


 Ucapan daripada Tuan Pengetua, Pengarah JAIPk dan Ahli Parlimen Lenggong

Setelah itu, sesi penyampaian hadiah pun bermula berselang-seli dengan persembahan para pelajar. Antara hadiah yang disampaikan adalah bagi para pelajar yang memperolehi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Terbaik 2014, Peperiksaan I’dadi Terbaik 2014, Keseluruhan Terbaik Peperiksaan Akhir Tahun (PAT) 2014, Mata Pelajaran Akademik Terbaik 2014, Mata Pelajaran I’dadi Terbaik 2014, Hafazan Terbaik 2015, Pelajar Potensi Menengah Rendah dan Menengah Atas 2015, Anugerah Emas, Perak dan Gangsa 2015 serta Tokoh Kokurikulum 2015.

Pelajat tingkatan tiga membuat Akujanji bagi menghadapi PT3
            Majlis di Dewan Mini STARULe berakhir kira-kira jam 11.00 pagi. Selepas itu, semua tetamu dan para jemputan menjamu selera di dewan makan dan di khemah yang telah disediakan. Ibu bapa yang hadir bagi meraikan kejayaan anak mereka dibenarkan membawa pulang pelajar setelah selesai menjamu selera manakala bagi pelajar-pelajar lain, mereka bertolak pulang ke rumah masing-masing untuk bercuti sempena Hari Raya Aidiladha selepas menunaikan solat Jumaat. Sekian.

Selasa, 29 September 2015

KEM PT3, I’DADI DAN THANAWI DI KEM REKREASI INTAN SURAYA

Pada 4 hingga 6 September 2015 yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan Kem Kurikulum atau Kem PT3, I’dadi dan Thanawi bertempat di Kem Rekreasi Intan Suraya, Sungai Siput, Perak. Kem ini memberi fokus kepada pelajar-pelajar tingkatan dua (I’dadi), tingkatan tiga (PT3) dan juga tingkatan empat (Thanawi). Manakala bagi para pelajar tingkatan satu, mereka didedahkan dengan cara bacaan dan menghafal al-Quran dengan betul oleh para ustaz dan ustazah STARULe.

Setiap subjek bagi PT3, I’dadi dan Thanawi disediakan dengan seorang penceramah dan juga slot yang telah dipersetujui oleh mereka. Penceramah-penceramah ini kebanyakannya merupakan pentaksir kawasan bagi PT3 dan juga pemeriksa kertas bagi I’dadi dan Thanawi. Ini bertujuan untuk memudahkan para pelajar mendapatkan tip dan juga panduan menjawab soalan peperiksaan dengan betul.



Dengan penganjuran kem ini diharapkan para pelajar STARULe akan lebih bersedia dan bersemangat bagi menghadapi peperiksaan sebenar yang akan menjelang tiba tidak lama lagi. Selamat maju jaya diucapkan dan semoga kalian dapat menghadapi peperiksaan dengan jayanya, InsyaAllah. Sekian.  

Selasa, 22 September 2015

PEMERIKSAAN DAN TAKLIMAT PENJAGAAN GIGI

Sesi pemeriksaan gigi bagi para pelajar STARULe telah diadakan pada hari Rabu, 26 Ogos yang lalu. Ia dijalankan oleh doktor dan jururawat daripada Klinik Kesihatan Lenggong. Setiap pelajar diwajibkan menjalani sesi pemeriksaan ini dan bagi pelajar yang memerlukan rawatan susulan seperti mencabut gigi, mereka perlu ke Klinik Kesihatan Lenggong tetapi bagi yang hanya perlu menampal gigi, prosedur ini dijalankan di STARULe sahaja.

Sesi pemeriksaan gigi di STARULe

Manakala, pada hari Jumaat, 28 Ogos pula diadakan satu sesi taklimat oleh doktor dan jururawat berkenaan penjagaan gigi di dewan mini, STARULe. Taklimat ini antara lain mengajar para pelajar dan guru berkaitan kerosakan gigi, kaedah rawatan gigi dan cara menjaga serta menggosok gigi dengan betul. 


  Taklimat daripada doktor dan jururawat Klinik Kesihatan Lenggong


Sekian.

Isnin, 7 September 2015

PEPERIKSAAN PERCUBAAN PT3 2015

Assalammualaikum w.b.t,
MAKLUMAN KEPADA IBU/BAPA/PELAJAR SMTDR LENGGONG.
 
Berikut merupakan tarikh peperiksaan percubaan PT3 bagi semua calon tingkatan 3 sesi 2015 SMTDR Lenggong.
 

Khamis, 3 September 2015

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI DAN KEMERDEKAAN 2015

         Sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang baru berakhir dan menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini, satu majlis Sambutan Aidilfitri dan Kemerdekaan 2015 telah diadakan di Dewan Mini STARULe pada 21 Ogos yang lepas. Para pelajar dan guru diminta untuk memakai baju raya pada hari tersebut bagi menyerikan suasana. Majlis ini turut dihadiri beberapa orang tetamu VIP iaitu pengetua-pengetua SMAN dan juga pegawai-pegawai JAIPk.

         Untuk memeriahkan lagi majlis, setiap kelas diminta menyediakan satu juadah makan tengah hari pada hari berkenaan. Kelas tingkatan 1 diminta menyediakan nasi impit, tingkatan 2 pula memasak rendang ayam dan membancuh air, tingkatan 3 menyediakan lemang manakala tingkataan 4 menjamu tetamu VIP dengan minuman panas.



Para pelajar dan guru melakukan persiapan pada petang Khamis

        Persiapan untuk majlis ini bermula pada petang Khamis, 20 Ogos. Para pelajar STARULe dibahagikan mengikut tugasan seperti mempersiap meja makan dan dewan mini, membasuh ayam, memasak nasi impit, memasang bendera dan sebagainya. Persiapan majlis disambung pada pagi program ini berlangsung iaitu pada hari Jumaat, 21 Ogos. Guru-guru dan pelajar-pelajar bersama-sama menyiapkan hidangan seperti rendang, satay, otak-otak dan kerang bakar.



               Para pelajar dan guru sama-sama menyiapkan juadah untuk makan tengah hari

     Pada jam 8.45 pagi, tetamu-tetamu disambut oleh pelajar-pelajar yang bertugas dan diiringi ke Dewan Mini STARULe. Majlis di dewan bermula kira-kira pukul 9.30 pagi dan berakhir jam 11.00 pagi. Majlis tersebut diserikan dengan persembahan pelajar dan majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan-pertandingan yang dianjurkan sempena Merdeka Raya.




Setelah itu, semua tetamu, guru dan pelajar bergerak ke dewan makan bagi menjamu selera. Berbagai jenis makanan telah dihidangkan termasuklah makanan yang dibawa oleh guru-guru dan kakitangan sekolah. Majlis bersurai kira-kira jam 12.30 tengah hari. 


Sekian.
"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"