Jumaat, 28 Ogos 2015

KEM KOKURIKULUM 2015 DI NUR LEMBAH LENGGONG

        Kem kokurikulum peringkat sekolah telah diadakan pada 14 hingga 16 Ogos 2015 yang lalu bertempat di Kem Nur Lembah Lenggong, Perak. Objektif utama kem ini dijalankan adalah untuk melatih para pelajar tentang ketahanan diri, mental dan juga fizikal. Kebanyakan pelajar STARULe terlibat dalam program ini dan mereka diiringi oleh sembilan orang guru.

          Para pelajar tiba di Kem Nur Lembah Lenggong kira-kira pukul 3.40 petang. Setelah mendengar sedikit ucapan aluan dan pembahagian kumpulan oleh penolong pengurus kem, Encik Aizuddin, semua pelajar dan guru menjamu selera di dewan makan kem. Selepas menunaikan solat Asar, jurulatih kem, Encik Mat Nor, memberikan taklimat di dewan. Kemudiannya, para pelajar diajar cara-cara untuk memasang khemah kerana mereka akan bermalam di sana selama dua hari.
Para pelajar mendengar taklimat daripada Encik Aizuddin


Para pelajar diajar cara-cara memasang khemah

         Pada sebelah malamnya, pelajar-pelajar dan beberapa orang guru melakukan aktiviti “Night Walk”. Para pelajar dan guru berjalan secara berkumpulan dalam keadaan gelap dengan berpandukan tali yang diikat pada pokok-pokok. Aktiviti ini berakhir kira-kira pukul 1.00 pagi.

       Keesokan harinya, para pelajar dan guru memulakan aktiviti “Jungle Tracking” dengan diketuai oleh Encik Mat Nor. Walaupun hujan renyai-renyai tetapi aktiviti ini tetap diteruskan. Para pelajar diajar cara-cara mengenal dan menggunakan tumbuh-tumbuhan hutan, memanjat dan menuruni bukit menggunakan tali khas, menggunakan kompas serta membuat pengusung ketika kecemasan di dalam hutan.


 Aktiviti "Jungle Tracking"

      Setelah makan tengahari dan menunaikan solat Zohor, para pelajar menjalankan aktiviti seterusnya iaitu “Explore Race” dan “Flying Fox”. Program ini bertujuan untuk menguji semangat berpasukan dan bantu-membantu dalam kalangan pelajar STARULe. Beberapa orang guru turut sama mencuba aktiviti “Flying Fox” yang agak unik kerana ia menyeberangi Sungai Perak. Di sebelah malamnya pula, jurulatih kem membuat latihan dalam kumpulan bersama pelajar-pelajar.
Aktiviti "Flying Fox"

Latihan dalam kumpulan
     Pada hari terakhir di kem, para pelajar melaksanakan aktiviti yang diberi nama “Survival”. Aktiviti ini mengajar para pelajar cara-cara untuk menyediakan makanan sekiranya tersesat atau terpaksa bermalam di dalam hutan. Encik Mat Nor mengajar mereka kaedah memasak nasi di dalam kelapa dan botol plastik, membuat air teh dan sup ayam di dalam buluh, memasak ketupat serta membakar ikan. Aktiviti ini telah menarik minat para pelajar dan guru kerana ia merupakan pengalaman kali pertama bagi kebanyakan mereka. Setelah selesai memasak, mereka juga turut merasa makanan yang disediakan.




    
                                                           Aktiviti "Survival"

      Selepas menunaikan solat Zohor, para pelajar dan guru berkumpul di dalam dewan bagi mendengar ucapan penutup daripada penolong pengurus kem. Kira-kira jam 3.20 petang, semua pelajar dan guru bertolak pulang. Pengalaman yang diperoleh daripada kem kokurikulum ini diharap dapat memberikan sedikit motivasi dan semangat untuk para pelajar, khususnya, bagi membina jati diri dan ketahanan mental serta fizikal. 
Sekian.

Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"