Ahad, 19 Julai 2015

PROGRAM IFTAR JAMA’IE BERSAMA WARGA STARULe

          Buat julung kalinya, satu program berbuka puasa beramai-ramai telah dianjurkan oleh pihak sekolah untuk semua warga STARULe sempena menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak. Program ini berlangsung pada hari Isnin, 13 Julai bersamaan 26 Ramadhan 1436 H yang lepas.

            Program bermula kira-kira jam 2.30 petang. Setiap pelajar diberi tugasan masing-masing seperti menyusun meja dan kerusi, mengemas kelas dan memasak makanan. Guru-guru diminta memantau kerja-kerja dan tugasan-tugasan yang dilakukan oleh para pelajar. Beberapa orang guru juga turut menyediakan juadah untuk moreh pada malamnya.





           Kira-kira pukul 7.00 malam, semua guru dan pelajar berkumpul di dewan makan asrama untuk berbuka puasa bersama-sama. Beberapa ahli keluarga warga STARULe dan bekas guru STARULe turut hadir memeriahkan majlis.



           Selepas menjamu selera, para pelajar dan guru lelaki menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Setelah itu, semua guru dan pelajar berkumpul semula di dewan makan asrama bagi mendengar sedikit ucapan daripada guru dan wakil pelajar. Walaupun terdapat gangguan bekalan elektrik, tetapi program tetap dapat diteruskan dengan jayanya.

             Kemudian, semua guru dan pelajar menunaikan solat Isyak dan tarawih beramai-ramai. Selesai menunaikan solat, mereka menjamu selera (moreh) dengan juadah yang disediakan iaitu pulut, bubur durian dan juga rendang. Kira-kira jam 10.45 malam, semua guru bersurai pulang ke rumah masing-masing. Sekian.

Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"