Rabu, 18 September 2013

Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Menengah IMTIAZ , Besut , Terengganu. (23 - 25 Ogos 2013)

Program lawatan sambil belajar ke Sekolah Menengah Imtiaz, Besut, Terengganu adalah bertujuan untuk menimba pengalaman dari sekolah lain yang telah mencapai kecemerlangan terutama tentang kaedah pembelajaran dan hafazan. Tarikh bagi program ini telah ditetapkan pada 23-25 Ogos 2013. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan dua buah sekolah di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Perak iaitu Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong (SMTDRL) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Kerian (SEMARAK). Program ini disertai oleh 45 orang pelajar dan 8 orang guru pengiring dari SMTDRL dan 50 orang pelajar SEMARAK termasuk 11 orang guru pengiring.


 Perjalanan kami bermula pada hari Ahad, 23 Ogos 2013 pada jam 9.00 pagi. Bas berhenti di Bukit Bunga untuk makan tengahari dan menunaikan solat Jumaat pada pukul 1.30 petang. Perjalanan kami diteruskan ke penginapan hari pertama kami di Kampung Pulau Melaka di ‘MADA INN’ berhampiran dengan Maahad Tahfiz Darul Anuar yang pengasasnya merupakan bekas menteri Besar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Selepas sembahyang jamak maghrib dan isyak, kami meneruskan perjalanan ke Wakaf Che Yeh yang mengambil masa hampir setengah jam. Peluang dua jam dimanfaatkan oleh kami untuk membeli belah di Wakaf Che Yeh yang sebahagian besar peniaga mengenakan bayaran yang murah.   


Pada pagi keesokkan harinya, kami bertolak ke Pasar Siti Khadijah yang bertempat di Kota Bharu pada jam 8.15 pagi. Memasuki ruangan Laman Siti Khadijah, memberi peluang kami membeli barang-barang kraftangan dan cenderamata untuk kenangan. Selain daripada itu, kami melawat beberapa buah muzium yang terdapat di Kota Bharu iaitu Muzium Perang ( Bank Kerapu), Muzium Islam, Muzium Di Raja (Istana Batu), Muzium Kraftangan, Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan dan Muzium Negeri Kelantan.


                        Pada jam 11 pagi, kami meninggalkan negeri Kelantan. Daerah Kota Bharu yang bersempadan dengan Terengganu hanya mengambil masa kurang dua jam untuk sampai ke destinasi kami seterusnya. Destinasi yang di maksudkan ialah Pengkalan Nyireh di Besut. Kami berhenti makan tengahari dan menunaikan solat jamak. Daerah yang terletak di Utara negeri Terengganu ini sememangnya amat popular dengan makanan keropok lekor. Jam 1.50 petang kami sampai di penginapan pada hari kedua kami di Kem Seri Keluang, Besut. Aktiviti pelajar bermula pada jam 3.30 petang oleh penceramah iaitu En Muslim Bin Abdullah. Ceramah berkisar Teknik Pemantapan Hafazan membolehkan pelajar menimba ilmu dan menambahbaik dari segi mutu hafazan seharian. Aktiviti pelajar diteruskan dengan permainan yang diadakan di Pantai Seri Keluang. Permainan yang diketuai oleh guru-guru dan kakitangan kedua-dua sekolah dapat mengeratkan lagi tali silaturahim sesama insan.



            Selepas pengemasan diri, pelajar-pelajar menuju ke Dewan Seri Keluang untuk sesi LDK (Latihan Dalam Kumpulan) pelajar. Pada keesokkan hari sekitar jam 7.30 pagi, perjalanan diteruskan dari Kem Seri Keluang ke Sekolah Menengah Imtiaz di Besut. Lawatan Penanda Aras yang menjadi agenda utama kami berlangsung dengan meriah. Sambutan yang diberikan oleh pihak Imtiaz amat mengharukan bagi pihak kami, atas sebab kecemerlangannya di peringkat antarabangsa sehingga dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selain SMTDRL dan SEMARAK baru berusia dua tahun. Banyak yang dikongsikan bersama di bilik mesyuarat oleh guru-guru SMTDRL, SEMARAK dan IMTIAZ. Perkongsian ilmu akan di manfaatkan demi perjuangan anak bangsa. Sekitar jam 12 tengahari perjalanan pulang bermula, dan sebelum waktu Maghrib kami telah sampai di SMTDRL.



Tiada ulasan:

"BERANI BERKORBAN DAN BERUBAH, KEJAYAAN ADALAH GANJARANNYA"